Kerajaan kena tahu masalah pekerja yang bekerja dari rumah

0
2

LEBIH setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dan sepanjang tempoh itu juga terdapat sebahagian besar pekerja perlu bekerja dari rumah.

Golongan ini sudah pastinya mengalami cabaran dan masalah tersendiri yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) berpandangan, keadaan bekerja dari rumah banyak permasalahan dialami pekerja dan hingga kini masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata antara masalah dihadapi adalah kos pembelian peranti, caj utiliti seperti elektrik dan data internet masih kekal menjadi permasalahan pekerja.

“Apabila bermulanya arahan bekerja dari rumah, semua keperluan asas atau peralatan bekerja amat diperlukan seperti komputer meja dan komputer riba, utiliti meliputi elektrik dan data internet.

“Perkara itu telah kita suarakan supaya kerajaan memberi diskaun kepada majikan ataupun pekerja. Tambahan lagi, semua anak-anak kita belajar dari rumah. Untuk belajar dan bekerja dalam talian ini sememangnya menggunakan data internet yang banyak, sekali gus meningkatkan kos kepada pekerja.

“MTUC telah lama suarakan supaya kerajaan melihat semula, tetapi sehingga kini belum ada perbincangan secara khusus tiga pihak iaitu bersama Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan kerajaan untuk kita bincang bagi tangani isu-isu ini,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan dikemukakan MEF supaya kerajaan menambah insentif kepada pekerja dan majikan dalam mengurangkan bebanan sedia ada susulan arahan bekerja dari rumah

Menurutnya, pekerja yang berkeluarga turut menanggung kos tinggi ekoran perlu menyediakan peranti pembelajaran serta data internet untuk anak-anak yang menjalani pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

“Dari segi keperluan peranti, memang telah ada potongan diskaun untuk pembelian komputer melalui pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tetapi kalau boleh kerajaan beri diskaun dalam menggalakkan lagi.

“Dari segi telekomunikasi, jika kita lihat di luar negara, kebanyakkan yang bekerja dari rumah itu diberi data percuma dan ia boleh membantu pekerja.

“Malah, kerajaan perlu beri perhatian kepada mereka yang berada di luar bandar, akses internet agak sukar, jadi itu antara perkara yang perlu dipertimbang oleh kerajaan untuk pastikan mereka yang bekerja dari rumah ini efektif,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here