‘Apa perkembangan RUU gangguan seksual?’ – soal PKR

0
2

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gangguan seksual diperjuangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang sehingga kini tiada perkembangan terkini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, turut mengaitkan perkara itu dengan kes tular mengenai seorang wanita yang mendakwa diganggu polis selepas butiran peribadinya diambil ketika sekatan jalan raya.

Menurutnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sepatutnya menjadi orang pertama yang memperjuangkan kes berkenaan.

“Sejak dua hari lepas, tular tweet maklumat peribadi yang didakwa disalahguna seorang anggota polis di sekatan jalan raya.

“Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menghubungi pemilik akaun Twitter tersebut untuk siasatan lanjut.

“Dalam isu seperti ini, sepatutnya menteri Rina Mohd Harun antara yang pertama meminta siasatan gangguan seksual untuk mendapatkan penjelasan/pengesahan dalam isu ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi merujuk kepada kes yang berlaku kepada seorang wanita semalam yang membuat ciapan di Twitter @nnnadzifah mendakwa seorang anggota polis mengganggunya dengan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp.

Gangguan itu berlaku selepas wanita terbabit diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya dan maklumat peribadinya termasuk nombor telefon dicatit oleh seorang anggota polis.

Fahmi mempersoalkan kenapa tiada tindakan atau maklum balas daripada menteri berkenaan walaupun kes itu kini tular di media sosial.

“Di mana beliau (Rina)? Terus diam seribu bahasa.

“RUU gangguan seksual yang sepatutnya beliau perjuangkan di Parlimen juga entah ke mana,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/wanita-dakwa-diganggu-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here