“SAYA tidak pancing orang. Pancing ikan guna umpan. Pancing orang guna wang. Tak bagus,” sindir Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tanpa merujuk mana-mana individu, Ahmad Zahid berkata, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau juga merupakan seorang kaki pancing.
“Saya mengesahkan saya cuma pancing ikan. Memancing hobi sejak kecil. Bila pulang kampung saya akan memancing depan rumah pada masa lapang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan sinis Ahmad Zahid itu kemungkinan mempunyai kaitan dengan situasi semasa politik tanah air, termasuk hubungan Umno dan Bersatu ibarat retak menanti belah.
Pada 4 Februari lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilaporkan mendakwa dia dan beberapa ahli Parlimen BN mendapat peruntukan bagi kawasan masing-masing sama seperti wakil rakyat pembangkang.
Ahmad Zahid menjelaskan kawasan Parlimennya hanya mendapat RM100,000 setahun untuk 2021, berbeza dengan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.
Beliau mendakwa Ahli Parlimen Umno lain yang senasib dengannya ialah Datuk Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata ‘kaki pancing’ pasti bersyukur dengan prosedur operasi standard (SOP) baru dikeluarkan kerajaan membenarkan aktiviti memancing.
“Seronok betul kaki pancing apabila kerajaan umum aktiviti memancing dibenarkan bermula semalam.
“Dalam tidak sedar memancing merupakan aktiviti yang sihat untuk fizikal dan mental.
“Memancing mampu merendahkan tahap stres dan menjadikan seseorang makin cergas,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, memancing boleh dijadikan sebagai aktiviti kekeluargaan.
“Oleh itu kakak-kakak jangan marah-marah jika abang-abang keluar memancing ikan.
“Itu terapi yang baik untuk mereka selepas seharian penat mencari rezeki untuk seisi keluarga,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/bagan-datuk-pekan-terima-peruntukan-sama-seperti-pembangkang-zahid/

