SUKARELAWAN berusia 60 tahun dan ke atas diperlukan untuk menyertai Kajian Klinikal Fasa 3 bagi vaksin Covid-19.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kajian itu bagi menguji keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan terhadap warga emas.
Justeru, seramai 315 hingga 450 warga emas diperlukan untuk sertai sebagai sukarelawan bagi tujuan berkenaan.
“Kami mengalu-alukan sukarelawan warga emas yang berminat untuk menyumbang dalam pembangunan vaksin Covid-19.
“Mereka boleh menghubungi sembilan hospital yang terlibat,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook dan Twitter rasmi kementerian itu hari ini.
KKM memaklumkan, kajian itu adalah kerjasama dengan Institut Perubatan Biologi, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).
“Sedikit perkembangan terkini kajian melibatkan sukarelawan 18 tahun ke atas, seramai 8,162 orang telah menghubungi sembilan hospital yang terlibat dalam percubaan klinikal ini setakat Selasa lalu.
“Daripada jumlah itu, 50 peratus iaitu 1,512 sukarelawan telah bersetuju untuk menyertai kajian ini dengan 38 peratus sukarelawan telah menerima dos pertama vaksin kajian atau plasebo,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

