SAMBUTAN Tahun Baharu Cina kali ini pastinya lebih bermakna buat Koh Kim Keok di Kota Bharu, Kelantan apabila dia bukan sahaja disantuni pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, tetapi turut mendapat kereta baharu.
Kisah hidup Kim Keok dikongsi Ebit yang menziarah dan memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan hari ini.
“Ziarah ibu tunggal Cina, Koh Kim Keok di Kota Bharu, saya hadiahkan kereta Myvi dan tab serta sedikit duit belanja dan akan bayarkan sewa rumah setiap bulan.
“Masa sampai tadi kakak ini menangis. Saya dapat info yang keluarga ini susah dan dah lama tiada makan besar dan tiada sambutan Tahun Baharu Cina.
‘Walau ‘Chinese non Muslim’ tapi dia kenal saya. Katanya, selalu berdoa nak jumpa ustaz. Hari ini tiba-tiba ada depan mata,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, selepas kematian suami, ibu tunggal itu membesarkan anak yang ramai seorang diri dengan kerja kedai kopi.
“Masa PKP gaji sehari RM20, dulu RM30 maka sebulan dapat RM600.
“Ada anak seorang yang memeluk Islam dah lama. Tapi mereka hidup dengan penuh kasih sayang.
“Anak perempuan berhenti belajar ‘Nursing’ kerana tiada duit untuk bayar yuran RM800. Sedih lak dengar. Mula kerja kedai makan bantu keluarga,” katanya yang mencadangkan agar anak itu menyambung belajar semula dan pihaknya akan menanggung yurannya.
Menurutnya, dia terus membelikan kereta berkenaan selepas mengetahui ibu tunggal itu tiada kenderaan untuk menghantar anak sekolah.
“Dulu ada kereta lama dah jual besi buruk. Saya terus ajak beli kereta. Terus dapat tadi. Kereta Myvi. Menangis kakak gembira sangat,” katanya.
Ebit turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini turut sama membantu keluarga terbabit.
“Terima kasih JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) ada beri duit bulanan. Terima kasih YB dan Menteri. Terima kasih zakat. Terima kasih penghulu dan ketua kampung. Terima kasih jiran dan masyarakat setempat. Terima kasih NGO tempatan. Terima kasih media yang maklumkan pada saya. Terima kasih semua.
“Semoga menjadi asbab kebaikan. ‘Happy Chinese New Year’. Selamat makan besar semua,” ucapnya. – Malaysiapost

