LEBIH 100 badan bukan kerajaan (NGO) melalui Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia telah menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, semalam.
Memorandum itu berkaitan pengumuman darurat yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari lalu.
Koordinator Sabah bagi gabungan itu, Razeef Rakimin berkata, pelaksanaan darurat tersebut ketika ini tiada kepentingan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat masih ringan.
“Banyak aktiviti masih berjalan terutama aktiviti ekonomi namun Parlimen tidak boleh bersidang dan sebagainya.
“Bagi kami, itu sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan kami menghantar memorandum serta diterima oleh pegawai di Istana Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, menerusi memorandum itu, mereka ingin menyampaikan berkenaan pengisytiharan darurat itu tidak membawa manfaat kepada negara.
Tambahnya, ia turut menjatuhkan imej Malaysia di seluruh dunia serta media antarabangsa telah menjadikan bahan ejekan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan kerajaan Malaysia.
“Hal ini perlu dihentikan serta merta kerana dibimbangi memberi kesan kepada peranan semak serta imbang kepada kuasa eksekutif pentadbiran negara dan mendedahkan kerajaan kepada salah guna kuasa eksekutif yang tidak terkawal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, memorandum terbabit bertujuan untuk meminta supaya penarikan semula persetujuan pelaksanaan Ordinan Darurat dengan segera. -Malaysiapost

