Anwar kenang tarikh dihumban ke penjara

0
1

TANGGAL 10 Februari adalah tarikh yang amat mengesankan saya tatkala sekali lagi dihumban ke penjara, kata Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata pengalaman mendekam di penjara itu mengajar beliau untuk kekal kuat dan teguh dalam melaksanakan agenda rakyat meskipun diuji, diancam dan ditekan dengan dahsyat.

“Derita yang saya alami pada ketika itu masih kecil ketimbang derita yang ditanggung rakyat yang masih dirundung masalah kemiskinan dan peminggiran.

“Justeru itu, saya akan terus memperteguh tekad agar negara ini harus segera dipulihkan dan agenda reformasi itu mesti membela semua.

“Saya tidak akan diam, saya akan berjuang untuk kebebasan serta keadilan dan saya tidak akan menyerah!,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Anwar turut memuat naik gambar beliau memeluk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tarikh berkenaan, lima tahun lalu.

Pada 10 Februari 2015, Anwar gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria semasa membacakan penghakiman pada hari berkenaan, berkata panel yakin sepenuhnya yang melampaui keraguan munasabah bahawa Mohd Saiful telah diliwat oleh Anwar dan beliau (Anwar) tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Dan dengan itu pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata keterangan saintifik (perubatan dan bukti DNA) dikemukakan pihak pendakwaan jelas menunjukkan sel sperma milik Anwar ditemui dalam bahagian bawah dan atas rektum Mohd Saiful.

Pada 16 Mei 2018, Anwar mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Anwar diberi pembebasan serta-merta selepas rayuannya dibentang dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-51. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/10/08/ahmad-nazlan-lapor-polis-terhadap-anwar-ibrahim/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here