Nurul Huda Abhar
KADAR pengangguran di Malaysia yang meningkat merupakan salah satu sebab beberapa golongan cenderung untuk terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dan kegiatan seks untuk kelangsungan hidup semasa pandemik Covid-19.
Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin berkata, kajian yang menyatakan Malaysia adalah di antara negara ketiga di Asian paling ramai ‘sugar daddy’ adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian.
“Kebimbangan saya secara peribadi pada angka kedua iaitu yang melibatkan aktiviti tidak bermoral. Hasil daripada pengangguran kita boleh lihat melonjak jumlah mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral contohnya aktiviti seks dan sebagainya.
“Datang istilah hari ini sugar daddy, sugar baby yang boleh tidur dengan orang-orang yang berduit dan mendapat habuan.
“Kita melihat pula sugar baby yang terlibat adalah di kalangan mahasiswa mahasiswi yang belajar di kolej, universiti. Dan yang terlibat dalam aktiviti tak bermoral ini anak-anak orang Islam, yang tidur dengan lelaki bukan Islam dan sebagainya,” katanya kepada Malaysiapost.
Ahmad Husam berkata, golongan yang melakukan aktiviti sedemikian bertujuan untuk memenuhi kehendak dan keperluan kerana akan diberi habuan seperti telefon bimbit, jam tangan dan wang hasil daripada aktiviti itu.
Sementara itu, beliau berkata aktiviti melibatkan dadah juga semakin meningkat kerana sesetengah golongan hanya melihat wang segera yang banyak tanpa memikirkan undang-undang.
“Anak-anak Melayu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penjualan dadah untuk mendapat wang.
“Jadi kita minta pada pihak bertanggungjawab memandang serius dan jugak rakyat Malaysia mari bersatu hati, bekerjasama fikir dan mencari ruang bagaimana nak selamatkan rakyat dalam masa sama majukan sektor ekonomi negara,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kebimbangan utamanya adalah aktiviti-aktiviti tidak bermoral itu banyak berlaku melibatkan golongan Melayu Islam oleh itu semua pihak harus berganding bahu untuk mencari jalan penyelesaian untuk isu tersebut.
“Saya minta di saat kita dalam kesusahan ini kurangkan persengketaan, kurangkan kontroversi, satukan matlamat untuk selamatkan rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata pengangguran di Malaysia meningkat pada kadar 4.8 peratus kepada 772,900 orang pada Disember 2020, menurut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Katanya, berkata bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus atau 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatat penurunan kecil pada bulan sebelumnya.
Menurut DOSM, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatat trend yang semakin meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial; maklumat dan komunikasi serta pendidikan.
Bagaimanapun, katanya, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan, penyimpanan; dan kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun akibat kesan pandemik. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

