AHLI dan pengurusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Pengerusi Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dalam menerajui Badan itu.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Norman Abdul Halim berkata, Zakaria dan Ahmad Idham berjaya memimpin Finas sebagai badan yang bertanggungjawab memajukan industri kreatif mengikut Akta Finas 1981 (Akta 244).
Katanya, sepanjang kepimpinan Zakaria dan Ahmad Idham, pihak Finas telah melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
“Antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) dan Dana Kandungan Digital (DKD).
“Manakala inisiatif lain termasuk Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC), Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif, Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema serta Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.
“Finas juga tidak meminggirkan perihal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan Program FINAS Prihatin dan pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin,” katanya menerusi kenyataan.
Selain itu, Finas turut melaksanakan Insentif Saringan Prihatin yang memberi manfaat terhadap penggiat industri kreatif tempatan dalam mendepani cabaran penularan pandemik Covid-19.
Norman berkata, bagi mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan Covid-19, Finas melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah proaktif mendapatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti penggambaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sektor industri kreatif juga terus diberi perhatian apabila kementerian melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Finas sentiasa terbuka dalam menerima cadangan jika wujud perkara berbangkit tetapi perlulah disampaikan melalui saluran betul.
“Finas dijangka mengadakan sesi ‘townhall’ secara maya bersama penggiat industri kreatif bagi membincangkan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
“Ini bagi merealisasikan agenda bersama dalam mengantarabangsakan industri kreatif tempatan dan memenuhi aspirasi warga industri kreatif,” katanya. -Malaysiapost

