
TANYA pun kena saman, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Walaupun diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Puad sebaliknya masih ‘berkeras’ dan mahukan perjelasan berhubung isu kuarantin tiga hari membabitkan Menteri.
“Di bawah darurat, Perlembagaan digantung dan pentadbiran ditentukan oleh eksekutif. Tetapi apakah itu yang membolehkan Menteri buat ‘Perintah’ guna Warta Persekutuan? Contoh, Menteri yang balik dari luar negara akan dikurantin tiga hari bukan lagi 10 hari.
“Apakah itu tujuan darurat? Untuk memenuhi keperluan dan keselesaan Menteri? Jangan gunakan darurat untuk menghalang rakyat bertanya dan minta penjelasan. Bertanya pun kena saman?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri menafikan fitnah oleh Puad, kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.
Perdana Menteri pada masa ini sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan sekembalinya dari lawatan rasmi di Jakarta, Jumaat lalu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan bahawa pada masa ini Muhyiddin sedang menjalani kuarantin di rumah.
“Fitnah yang dilemparkan oleh Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/09/kuarantin-3-hari-pejabat-pm-nafi-tuduhan-puad/
