PEJABAT Perdana Menteri hari ini menafikan sekeras-sekerasnya kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa perintah kuarantin tiga hari untuk menteri dibuat kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan dikuarantin sekembali dari lawatan rasmi ke Indonesia.
Ia susulan laporan bahawa jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.
Menerusi kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata Perdana Menteri telah diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari Jakarta pada Jumaat lalu.
“Beliau pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah.
“Fitnah yang dilemparkan oleh Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas beliau sekiranya gagal memohon maaf secara terbuka,” katanya.
Puad menerusi hantaran di Facebooknya hari ini mempersoalkan kenapa tiba tiba sahaja Menteri Kesihatan keluarkan surat semua menteri balik bertugas dari luar negara tidak perlu kuarantin 10 hari dan terkecuali dari Seksyen 15 Akta 342.
Malah, beliau bertanya benarkah berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Subang ketika pegawai KKM menunggu untuk urusan kuarantin apabila rombongan Perdana Menteri tiba dari Jakarta, namun mereka didakwa tidak mahu kuarantin 10 hari.
Maka itu sebabnya Menteri Kesihatan mengeluarkan surat arahan baharu melalui Warta Persekutuan.
Menurut warta tersebut, perintah ini berkuatkuasa bagi tempoh mulai 9 Februari 2021 hingga 1 Ogos 2021.
“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta,” kata Menteri Kesihatan dalam warta tersebut. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/lawatan-pm-ke-indonesia-dikawal-ketat/

