‘Kalau sengaja jadi fitnah, kalau tak sengaja atau tertidur boleh perbetulkan’

0
1
Kredit Foto NSTP

AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan rasa ‘pelik’ terhadap tuduhan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution kononnya tiada desakan di Parlimen oleh 18 wakil rakyat PAS berhubung Rang Undang-undang Akta 355.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, jika dibuat carian dengan mudah di laman Parlimen, boleh sahaja didapati di dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 26 November 2020 bahawa beliau telah bangun bertanya kepada Perdana Menteri.

Ia bagi meminta dinyatakan usaha-usaha yang telah dijalankan untuk memastikan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan.

“Soalan saya dijawab oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary secara terperinci menggariskan pelan bertindak kerajaan ke arah memastikan usaha menaiktaraf kuasa mahkamah syariah ini dapat dilaksana.

“Ini termasuklah melakukan perundingan pihak berkuasa negeri yang merupakan pemegang taruh dalam hal ehwal agama di negeri masing-masing.

“Ia juga boleh dirujuk dengan mudah di laman web parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Saifuddin Nasution mempersoalkan selepas setahun PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Persekutuan, sehingga kini tiada perkembangan mengenai pelaksanaan RUU 355 yang diperjuangkan parti itu.

Setiausaha Agung PKR itu mendakwa setakat ini ia tidak dibentangkan oleh Kabinet selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di atas prinsip memperjuangkan hukum Islam, telah membentangkannya sebagai rang undang-undang bagi Kelantan dan Terengganu.

“Setahun sudah jadi kerajaan. Tiada kertas Kabinet untuk laksanakan RUU 355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang. Tiada dibentang dalam Kabinet bermaksud tiada juga dibentang dalam Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata beliau faham kenapa Saifuddin Nasution terlepas pandang berhubung soalannya dan jawapan kerajaan di Parlimen.

Ini kerana katanya, tarikh tersebut iaitu 26 November 2020 ialah hari pengundingan Belanjawan 2021 yang menyaksikan hanya 13 Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk memohon undi belah bahagi.

“Barangkali pagi sebelum penggulungan oleh Menteri Kewangan, pembangkang sedang bermesyuarat dengan hebatnya (meminjam istilah Ahli Parlimen Arau) sehingga terlupa persidangan Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi setiap hari dengan soal jawab lisan.

“Menyatakan ‘langsung tiada usaha’ Ahli Parlimen PAS untuk bertanya tentang RUU355 ini ialah satu tuduhan.

“Jika ia disengajakan, ia menjadi fitnah. Jika tidak disengajakan (kerana terlepas pandang mahupun tertidur), bolehlah diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata, Saifuddin Nasution sepatutnya bertanya kepada kerajaan berhubung perkembangan RUU355 dan menyatakan wakil rakyat PAS sebagai langsung tidak bersuara sedikit kurang tepat,” katanya. – Malaysiapost.

Foto Kredit: NSTP


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/07/saifuddin-tanya-apa-khabar-ruu-355/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here