LEMBAGA Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini menafikan bahawa format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berubah.
LPM dalam kenyataan, berkata perkara berkenaan merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian yang dikeluarkan semalam bertajuk ‘Wajah Baharu SPM’ di muka hadapan, ‘SPM Bakal Dirombak’ dan ‘Peperiksaan Boleh Buka Buku’ dalam muka surat dua dan tiga.
“LPM mendapati bahawa tajuk dan laporan akhbar Sinar Harian ini telah menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM 2020.
“LPM ingin menegaskan bahawa format peperiksaan SPM tahun 2020 adalah kekal seperti sedia ada,” kata kenyataan itu.
LPM turut menegaskan bahawa laporan akhbar Sinar Harian berkaitan format peperiksaan SPM pada masa hadapan adalah tidak benar.
“LPM tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” katanya. -Malaysiapost

