PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) menggesa kerajaan menyenaraikan guru sebagai penerima awal vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang bermula hujung bulan ini.
Pemberian vaksin awal kepada guru mampu meningkatkan imuniti kelompok, sekali gus melindungi murid yang diajar mereka.
Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden PFM, Amrahi Buang dalam kenyataan bersama, berkata suntikan vaksin kepada guru akan membolehkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa dan lebih selamat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Bernama.
“Fasa pertama suntikan vaksin diberi kepada barisan hadapan dan warganegara yang diberikan keutamaan, tetapi tidak termasuk guru serta pendidik.
“PIBGN dan PFM meminta kerajaan turut memberi keutamaan kepada guru dalam menerima suntikan vaksin kerana ia antara strategi berkesan dalam meningkatkan imuniti kelompok,” katanya.
Menurutnya, kluster Covid-19 membabitkan sekolah di beberapa negara adalah sangat minimum berbanding kluster tempat kerja dan tapak pembinaan.
“Pemberian vaksin dan pematuhan kepada norma baharu seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman adalah usaha berkesan dan berterusan untuk mengekang penularan wabak ini.
“Ia juga akan meningkatkan keyakinan dan semangat guru untuk kembali mengajar di sekolah masing-masing tanpa berasa khuatir,” katanya.
Justeru menurutnya, PIBGN dan PFM berharap kerajaan dapat mengutamakan guru dalam pengagihan vaksin yang akan bermula hujung bulan ini supaya sekolah dapat dibuka semula seperti biasa. – Malaysiapost

