Buku terpakai dari pasar minggu cetus semangat ke Olimpik

0
2

SENASKHAH buku terpakai dibeli di pasar minggu yang memaparkan kompilasi Sukan Olimpik 2000, menjadi pencetus semangat buat Azizulhasni Awang merealisasikan impian beraksi di pentas Olimpik.

Menerusi perkongsian di Facebooknya semalam, jaguh basikal trek negara itu berkata sekitar pertengahan 2007, dia dihantar ke Melbourne untuk menjalani latihan bersama skuad elit di bawah kendalian jurulatih John Beasley.

“Suatu hari di hujung minggu, saya pergi ke Sunday Market sekitar Melbourne, bukanlah untuk membeli apa-apa pun tetapi sekadar cuci mata tengok barang-barang yang dijual serta suasana kemeriahan market tersebut.

“Pusing punya pusing sekali ternampak ada orang jual buku-buku terpakai. Saya bukanlah ulat buku, tetapi saya suka buku dan bahan bacaan. Saya pun tercegat di hadapan tu sambil meneliti buku-buku yang terhidang untuk orang yang lalu lalang.

“Tidak lama selepas itu, mata saya tergoda oleh satu naskhah yang agak tebal dan gambar kulit hadapannya sahaja sudah cukup membuatkan saya jatuh hati,” catatnya.

Pelumba digelar The Pocket Rocketman itu seterusnya berkata dia membuka naskhah tersebut lalu lalu diselak sehelai demi sehelai yang setiap satunya membuatkan dia terpegun dan kagum.

“Cerita, potret yang terpapar serta maklumat dalam naskhah tersebut cukup sinonim dengan kemahuan, kehendak saya dan mungkin sebuah cita-cita dari seorang anak kampung yang berasal dari Dungun, Terengganu pada ketika itu,” katanya.

Dia kemudian tanpa berfikir panjang membeli buku bertajuk ‘kompilasi cerita dan gambar dari Sukan Olimpik Sydney 2000’ itu dengan harga 5 dollar Australia.

Katanya lagi, buku terpakai itu dibeli dengan syiling yang disimpan untuk membayar parkir di kota Melbourne.

“Dengan penuh kegembiraan saya beransur pulang sambil memasang impian dan cita-cita untuk beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here