Amaran keras buat geng basikal!

0
1

POLIS mengesan masih terdapat individu yang berdegil untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengayuh basikal secara berkumpulan.

Menerusi tinjauan polis, beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan penggemar aktiviti berbasikal secara berkumpulan sehingga mencetus rungutan masyarakat berkaitan tahap kepatuhan SOP yang dikenakan ke atas mereka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata tindakan mereka itu menyebabkan masyarakat gelisah kerana boleh menyebabkan trend peningkatan jangkitan Covid-19.

“Mereka ini dikesan mengayuh basikal secara berkumpulan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok.

“Kita juga menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara itu, namun apabila polis tiba di lokasi dinyatakan, kumpulan pengayuh basikal tersebut sudah beredar.

“Mereka ‘bernasib baik’ hari ini tetapi sekiranya perkara itu berlaku lagi, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menetapkan SOP aktiviti berbasikal hanya dibenarkan secara berseorangan dalam radius 10 kilometer dari kawasan kediaman.

“Kayuhan berkumpulan tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan.

“Orang ramai yang didapati ingkar dan tidak mematuhi arahan ini khususnya yang berbasikal di sekitar bandar raya Kuala Lumpur akan diambil tindakan kompaun di atas ketidakpatuhan itu,” katanya.

Justeru, Mohamad Zainal berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/pelitup-muka-masih-ramai-degil-dan-ingkar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here