Rakyat perlu dididik cara hidup bersama Covid-19 – Zahida

0
1

SUDAH sampai masanya kerajaan di setiap peringkat kementerian hingga ke pasukan keselamatan memulakan usaha-usaha mendidik rakyat agar membiasakan diri hidup dengan virus Covid-19 dalam norma baharu.

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berpendapat langkah itu perlu bagi menangani kesan buruk dari segi ekonomi dan emosi yang dialami masyarakat susulan pandemik berlarutan lebih setahun itu.

Menurutnya, saban hari media melaporkan berita-berita penderitaan yang dialami rakyat dan hakikatnya hanya rakyat jugalah menanggungnya.

“Belum lagi bercerita tentang pengusaha van sekolah, peniaga kantin, pekerja sektor pelancongan, mereka terlibat dalam sektor perkahwinan daripada andam, katering, jurugambar, tukang cuci yang dibayar gaji hari, dan banyak lagi yang sebenarnya terkesan teruk hari ini.

“Diburukkan lagi berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilapor­kan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

“Ia sekali gus menunjukkan secara purata lebih 30 orang bunuh diri sebulan atau seorang setiap hari dalam tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zahida berkata, jelas sekali ia antara fakta yang menunjukkan kesan buruk kepada ekonomi serta emosi rakyat yang terpaksa berkurung ketika PKP dan mustahil bagi mereka terus hidup berkurung untuk jangka masa panjang.

“Perlu tindakan segera melibatkan lebih ramai pakar bagi menilai punca sebenar angka positif Covid-19 yang diumum terus meningkat hari demi hari walau hampir empat minggu tempoh PKP 2.0 dilaksanakan.

“Saya berpandangan sampai masa kerajaan di setiap peringkat kementerian hingga ke pasukan keselamatan memulakan usaha-usaha ‘educate’ mengajar rakyat di negara ini untuk membiasakan diri hidup dengan Covid-19.

“Rakyat perlu hidup dalam norma baharu dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menguatkan imuniasi badan, mengamalkan gaya hidup sihat dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut bersimpati kepada petugas barisan hadapan yang berkorban tidak mengira waktu hingga terpaksa meninggalkan keluarga tersayang untuk tempoh lama demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Sedikit melegakan apabila Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa sektor termasuk kedai gunting rambut dibenar beroperasi semula dengan SOP ketat sehingga jam 10 malam, terima kasih diucapkan kepada ‘Paklong Mail’ kerana cakna pada keluhan mereka di bawah.

“Dalam kemalapan sekarang, rakyat terus merindukan ‘sinar’ sebenar agar negara kita segera pulih daripada wabak ini, kepada Allah jua kita berserah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/11/26/moratorium-automatik-i-sinar-tanda-bn-cakna-kesusahan-rakyat-zahida-zarik/

https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/harga-barang-puteri-umno-minta-menteri-tak-beri-alasan-bodoh/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here