Kebakaran kilang bongkar kegiatan proses dadah

0
1

KEBAKARAN sebuah kilang di kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Seri Alam di Pasir Gudang, membongkar kewujudan makmal memproses dadah dan penemuan dadah bernilai RM5.6 juta.

Dalam kejadian jam 9.40 malam 31 Januari lalu, polis menerima maklumat daripada bomba mengenai kebakaran sebuah kilang pelupusan barang lusuh di kawasan terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata hasil pemeriksaan di premis kilang tiga tingkat itu menemui sejumlah dadah disyaki ketamin serta pelbagai peralatan pemprosesan dadah.

Menurutnya, tujuh lelaki berusia 34 hingga 48 tahun turut ditahan dalam serbuan susulan kira-kira dua jam selepas penemuan makmal itu.

“Polis menjalankan operasi susulan penemuan makmal dadah berkenaan dan menahan tujuh lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam sindiket dadah ini.

“Saringan awal ujian air kencing semua suspek adalah negatif dan semakan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Polis Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket dadah itu adalah menyewa premis kilang untuk dijadikan makmal haram memproses dadah dan hasil siasatan mendapati ia sudah beroperasi selama sebulan.

“Dalam serbuan ini polis merampas 30kg ketamin bernilai dianggar bernilai RM1.65 juta, dan 100 liter cecair disyaki dadah bernilai RM3.3 juta serta dua kg serbuk dadah bernilai RM110,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM5.06 juta dengan bekalan itu boleh digunakan seramai 660,000 penagih,” katanya.

Menurutnya, antara peralatan memproses dadah yang dirampas adalah prekusor serta mesin dengan balang kaca yang mampu memproses 100 liter dadah iaitu peralatan paling besar pernah dirampas setakat ini.

“Polis turut menyita enam kereta bernilai RM398,000, sebuah motosikal Yamaha Ego RM4,000, dua jam tangan RM1,300, wang tunai RM6,400, barang kemas bernilai RM59,220 dan lima akaun bank bernilai RM873,042 yang membawa nilai keseluruhan barangan disita adalah RM1.34 juta,” katanya.

Ayob Khan berkata, semua suspek direman bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Menurutnya, polis masih mengesan lima lagi suspek, iaitu empat lelaki serta seorang wanita berusia 33 hingga 46 tahun, dipercayai ahli perniagaan yang menyalurkan dana kepada makmal dadah berkenaan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/pacuan-empat-roda-bawa-500kg-ketum-terbalik/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here