Taman Rimba Kiara: DBKL, Yayasan WP janganlah merayu lagi

0
1

PERSATUAN Penduduk Taman Tun Dr Ismail (PP TTDI) memohon Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah pembangunan projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.

Menerusi kenyataan hari, persatuan itu berkata keputusan Mahkamah Rayuan tersebut telah dipuji secara meluas sebagai keputusan yang penting, termasuk oleh Pertubuhan Peguam Malaysia dan pakar undang-undang.

Susulan itu, katanya, Datuk Bandar dan Yayasan Wilayah Persekutuan harus menunjukkan kesediaan untuk mematuhi keputusan penting yang dibuat mahkamah dan memperuntukkan sumber yang ada untuk melakukan pembaharuan agar selari dengan panduan kehakiman yang diberikan.

“Sebagai penduduk Kuala Lumpur, kami membantah penggunaan lebih banyak sumber oleh DBKL dan/atau Yayasan Wilayah Persekutuan untuk merayu satu keputusan yang begitu jelas dan muktamad
dalam menangani isu undang-undang.

“DBKL adalah sebuah agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk mempromosikan, memperjuang dan mempertahankan kepentingan rakyat.

“Oleh kerana ini adalah inisiatif yang berniat kepada kepentingan awam yang diperjuang warga Kuala Lumpur dan disokong masyarakat umum, kami menggesa DBKL melaksanakan peranan mereka dan tidak membelanjakan sumber berharga untuk mencabar kehendak rakyat,” katanya.

Menurut PP TTDI, mereka menyahut seruan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyarankan Menteri Wilayah Persekutuan untuk memberi tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik atas tanah/tapak sedia ada berkeluasan 1.6 hektar kepada 98 keluarga rumah panjang Bukit Kiara.

Mereka juga memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat, untuk secara kolektif merancang pembinaan rumah bandar seperti diusulkan PP TTDI sebelum ini.

“Pada pendapat kami ia selari dengan semangat Wilayah Prihatin,” kata kenyataan itu.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membatalkan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL bagi projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.

Panel tiga hakim membabitkan Datuk Mary Lim Thiam Suan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), Datuk Has Zanah Mehat dan S Nantha Balan, membuat keputusan itu sebulat suara selepas membenarkan rayuan PP TTDI.

Dalam penghakiman disampaikan Thiam Suan, mahkamah memutuskan penduduk mempunyai kedudukan perundangan (locus standi) untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan DBKL kerana mereka terjejas dengan cadangan pembangunan itu.

Susulan itu, beliau berkata perintah pembangunan bertarikh 1 Julai 2017 diketepikan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/dataran-merdeka-bakal-dinaik-taraf-sebagai-garden-city-of-light-annuar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here