Zakat Selangor bantu warga emas ditinggalkan di surau

0
4

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) mengambil tindakan segera dengan membantu seorang warga emas yang ditinggalkan di surau di Subang, Selangor dengan menempatkan lelaki berkenaan di sebuah rumah kebajikan di Dengkil.

Menerusi perkongsian di Facebook, LZS memaklumkan pihak mereka menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan warga emas berkenaan.

Berkongsi cerita lelaki berkenaan, warga emas itu memaklumkan dia tidak mempunyai zuriat kerana belum berumahtangga dan sebelum ini dijaga oleh anak saudaranya.

“Namun sejak kesihatannya yang semakin merosot, ditambah pula dengan suasana yang tidak menentu kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ahli keluarga yang menjaganya telah meninggalkan beliau di sebuah surau.

“Peringkat awal beliau tidak menjangkakan beliau akan diperlakukan sedemikian. Pujukan ahli keluarganya mengajak beliau ke surau tersebut untuk berjemaah, rupanya adalah perancangan untuk meninggalkan beliau di surau berkenaan. Pakaian juga telah siap diletakkan di dalam beg untuk bekalan beliau,” kata hantaran berkenaan.

LZS memaklumkan ketika sampai di lokasi kejadian, lelaki itu mengadu yang kakinya sakit akibat jangkitan kuman, perutnya lapar dan berada dalam keletihan.

“Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil. Zakat Selangor akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat. Kami cuba sedaya-upaya untuk salurkan zakat anda kepada mereka yang berhak. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here