SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan kandungan buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’ memesongkan fakta sejarah.
Beliau berkata, buku yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas itu terutama pada bab enam dan bab tujuh membuat tuduhan yang tidak benar.
Katanya, apabila penulis menyebut Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang kedua terlibat menyebabkan rusuhan kaum peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan mengadakan kudeta kononnya kerana Allahyarham mengetahui beliau berpenyakit leukimia maka seolah-olah beliau cuba merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.
“Jadi perkara-perkara begini adalah tidak benar dari segi fakta sejarah dan kita tahu bahawa kertas putih telah dibentangkan mengenai peristiwa berkenaan dan ada juga kenyataan seolah-olah kaum Melayu yang mencetuskan peristiwa 13 Mei.
“Jadi perkara-perkara ini pada pandangan peguam-peguam Umno ianya melanggar peruntukan di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948 iaitu percubaan untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia, mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara masyarakat. Kami berpandangan ini adalah satu kesalahan seiring dengan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau juga membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi petang tadi berhubung kandungan buku berkenaan.
Sementara itu, Ahmad berkata keseluruhan buku berkenaan ada komen-komen yang menyentuh mengenai prosedur, pendakwaan, kertas-kertas siasatan yang dianggap maklumat-maklumat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak seharusnya di dedahkan kepada masyarakat umum.
“Pandangan kami penulisan itu adalah tidak sesuai dan ianya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.
Selain itu, katanya pandangan Tommy Thomas kepada Timbalan-Timbalan Pendakwaraya dan juga keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang mana dikira mengundang persepsi negatif atas tugas-tugas mereka sebagai pegawai kerajaan dan penjawat awam yang berdedikasi.
“Atas sebab-sebab tiga perkara utama itu saya membuat laporan polis agar pihak Polis menyiasat Tommy Thomas di bawah Seksyen 3 dan 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksywn 500 Kanun Keseksaan,”katanya. -Malaysiapost

