KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 4,756 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 setakat ini.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini, data menunjukkan 3,101 adalah petugas wanita, manakala 1,655 lagi adalah petugas lelaki.
“Kajian mendapati sebanyak 43 peratus jangkitan berlaku daripads komuniti bukannya di hospital. Malah, semalam saja, KKM menerima laporan sebanyak 85 kes jangkitan berlaku membabitkan petugas kesihatan.
“Baru-baru ini juga, berlakunya jangkitan dalam kalangan staf KKM di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu menjadikan jumlahnya kepada 93 kes,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dr Noor Hisham berkata, jumlah tinggi jangkitan itu menunjukkan bahawa barisan hadapan kesihatan mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti.
“Pengesanan kontak rapat segera mampu memastikan tiadanya penularan wabak yang membolehkan wujudnya kluster baharu,” katanya sambil menjelaskan petugas kesihatan akan menjadi antara keutamaan diberi vaksin Covid-19.
Disember tahun lalu, beliau mendedahkan seramai 1,880 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melalui saringan susulan peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutama di fasiliti kesihatan di zon merah dan kawasan berisiko tinggi.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM melihat kemungkinan menurunkan kuasa kepada pihak swasta bagi menyelaras dan memudahkan pengurusan pesakit Covid-19 yang dirawat atau membuat ujian calitan di kemudahan swasta.
Menurutnya, ketika ini pengamal perubatan swasta tidak dibenarkan untuk memakaikan gelang kuarantin dan mengeluarkan perintah pengawasan di rumah (HSO) sebagaimana rakan sejawat di KKM.
“Dengan penurunan kuasa itu, pengawal perubatan swasta boleh mengeluarkan perintah pelepasan terhadap pesakit yang sudah menamatkan tempoh pengasingan di rumah.
“KKM sedang melihat menurunkan kuasa kepada pengamal perubatan swasta bagi membolehkan mereka mengeluarkan HSO serta pemakaian gelang dan selepas tempoh pengasingan, mereka boleh mengeluarkan perintah pelepasan dan memotong gelang,” katanya. – Malaysiapost

