Pertemuan bersemuka kukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertemuan secara bersemuka dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata, pertemuan empat jam dengan Presiden Indonesia itu memberi ruang untuk kedua-dua negara mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik.

“Berbanding perbincangan secara persidangan video, perbualan kami lebih mesra dan konstruktif, malah beliau meminta saya sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, pertemuan bersama pada sesi ‘veranda talk’ merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik Covid-19.

“Pada sesi itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar,” katanya.

Perdana Menteri turut meluangkan masa menunaikan solat Jumaat bersama Jokowi di Masjid Baiturrahim yang terletak di pekarangan kompleks Istana Merdeka.

Beliau turut merakam penghargaan atas sambutan yang disifatkan luar biasa meskipun dilaksanakan dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here