Tommy Thomas mahu dilihat sebagai ‘hero’

0
2

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan Tan Sri Tommy Thomas seorang yang gagal dan tidak profesional kerana mencampur-adukkan hal politik dan tugasnya sebagai Peguam Negara termasuk ‘memecahkan’ rahsia kerajaan kepada umum.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perkara itu adalah selepas merujuk kepada beberapa pendedahan kontroversi Tommy dalam buku memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Katanya, ramai yang berpendapat Tommy bukan saja telah melanggar sumpah janji untuk menjaga kerahsiaan urusan dalaman kerajaan setelah dilantik sebagai peguam negara dan ketika tidak memegang jawatan itu, malah bersikap berat sebelah apabila mengulas sesuatu keputusan rasmi kerajaan pada masa itu.

“Kecenderungan Tommy Thomas untuk dilihat sebagai hero yang lantang kononnya dalam membongkar dan mendedahkan apa yang difikirkannya sebagai “kebenaran”.

“Hakikatnya hanyalah manifestasi pegangan politik bekas peguam bela kepada tokoh komunis Chin Peng yang diketahui selama ini condong ke arah menyokong pihak pembangkang khususnya DAP.

“Banyak dakwaan-dakwaan Tommy Thomas bersifat sangkaan serta pendapat beliau semata-mata tanpa sebarang pembuktian yang jelas untuk dipaparkan bagi mendukung hujah-hujahnya dalam buku memoir beliau tersebut.

“Sebagai contoh, dakwaan beliau bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memilih Datuk Seri Dr. Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah Tun Dr. Mahathir meletak jawatan,” katanya di Facebook.

Beliau mempersoalkan sejak bila Tommy Thomas menjadi jurucakap pihak Istana Negara untuk membuat dakwaan itu?

“Adakah Tommy Thomas mendapat izin dari Yang di-Pertuan Agong untuk mendedahkan cerita itu andai hal itu benar sekalipun?

“Bukan itu saja malah Tommy Thomas seolah-olah mempertikaikan pula laporan koroner (pakar bedah mayat) dalam kes pembunuhan anggota bomba arwah Adib dalam peristiwa rusuhan penyokong kuil haram di Subang Jaya yang terjadi di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” perlinya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selaku bekas Peguam Negara yang kononnya ingin menegakkan keadilan, sewajarnya Tommy Thomas mengecam watak-watak menteri berketurunan India dalam kerajaan PH.

“Yang ketika itu khususnya Menteri Perpaduan Waytha Moorthy yang secara gopoh menyalahkan pihak polis hingga ia berjaya membakar emosi para penganut Hindu untuk merusuh dan membakar beberapa kenderaan di tempat kejadian.

“Sikap Tommy Thomas yang melemparkan tuduhan-tuduhan negatif terhadap budaya kerja para penjawat awam khususnya di Jabatan Peguam Negara secara terbuka dalam bukunya juga adalah tidak wajar.

“Sepatutnya beliau mengadu melalui laporan rasmi secara professional jika beliau ikhlas mahukan perubahan dalam hal pentadbiran yang pernah dinaungi beliau selaku peguam negara dahulu,” katanya.

Beliau berkata, Tommy adalah contoh peguam negara yang gagal.

“Ketika beliau menjawat jawatan itu, beliau gagal menyakinkan Perdana Menteri ketika itu bahawa Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih merupakan kumpulan pengganas antarabangsa yang berbahaya terhadap keharmonian masyarakat majmuk negara ini serta merupakan ancaman keselamatan negara jika tidak dibendung dari awal,” katanya.

Bagaimanapun, perli Muhammad Faiz, satu saja kejayaan Tommy yang rakyat Malaysia perlu ingat, iaitu menggugurkan kes skandal banglo Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng daripada dibicarakan di mahkamah.

“Nampaknya beliau lebih cenderung menjadi ahli politik daripada menggalas amanah sebagai peguam negara yang adil dalam menegakkan undang-undang.

“Hikmah luahan isi perut Tommy Thomas dalam buku memoirnya itu adalah bukti jelas bahawa tidak semestinya peguam negara dari bukan Melayu itu cukup professional dan tegas seperti yang pernah disangka oleh orang yang memilih beliau untuk jawatan tersebut iaitu Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

“Tidak wajar faktor keturunan dijadikan mangsa pukul rata oleh mereka yang berkepentingan politik kerana kelak ia hanya mendatangkan prasangka antara kaum,” katanya.

Maka, beliau turut mencadangkan agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat secara menyeluruh isi kandungan buku memoir Tommy Thomas tersebut yang hanya mendatangkan kontroversi berbanding solusi.

“Buku tersebut wajar diharamkan jika ia mengandungi fitnah serta hasutan.

“Tommy Thomas juga wajar dikenakan tindakan tegas atas perbuatan beliau yang melanggar sumpah janji menjaga kerahsiaan urusan kerajaan dan negara,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here