Bersatu tolak nasihat, bermakna mereka tak lagi percaya saya – Tun M

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) telah menolak nasihat beliau supaya tidak tergesa-gesa keluar dari Pakatan Harapan (PH) walaupun pada ketika itu dirinya adalah pengerusi parti berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Bersatu itu secara jelas menunjukkan parti itu tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada beliau.

“(Tan Sri) Tommy Thomas dalam bukunya ‘My Story – Justice in the Wilderness’ berpendapat bahawa peletakan jawatan Perdana Menteri sebagai ‘surrender of power’, penyerahan balik kuasa yang sukar difaham.

“Saya pula tidak faham kenapa peletakan jawatan itu sukar difaham. Bersatu yang saya menjadi Pengerusi telah tolak nasihat saya supaya tidak tergesa-gesa keluar dari PH . Ini bermakna parti saya tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada saya. Mereka menyokong (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan memutus untuk keluar dari PH dengan serta merta.

“Apabila saya tidak lagi memiliki kepercayaan dari parti saya, saya tidak lagi dapat menjadi Pengerusi parti. Saya buat keputusan untuk letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu. Saya dilantik jadi Perdana Menteri kerana saya Pengerusi Bersatu. Apabila saya tidak lagi jadi Pengerusi Bersatu, saya tidak lagi layak jadi Perdana Menteri. Maka saya pun terpaksa letak jawatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun beliau minta supaya Bersatu tangguh keputusan keluar dari PH, tetapi pada malam 23 Februari 2020, Bersatu telah adakan majlis makan malam bersama PAS dan Umno, iaitu gabungan parti-parti yang dirancang oleh Muhyiddin untuk menjadi Kerajaan apabila PH jatuh.

“Saya jatuh bersama dengan kejatuhan PH. Tidak munasabah saya terus jadi Perdana Menteri apabila PH tidak lagi jadi Kerajaan.

“(Lim) Kit Siang berpendapat Kerajaan PH jatuh kerana saya letak jawatan. Jika PH masih ada majoriti, ia tidak akan jatuh. PH boleh pilih ahli Dewan Rakyat lain untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang berminat untuk jadi Perdana Menteri, namun kerana PH hilang majoriti di waktu beliau letak jawatan, Anwar tidak dapat menggantikan beliau.

“Kemudian semua 222 wakil rakyat diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk cadang calon mereka untuk jadi Perdana Menteri. PH yang sepatutnya cadang saya, telah cadang Anwar konon kerana ia mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.

“Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar. Saya dapat 62 pencalonan kerana PH tolak saya. Jika PH calon saya seperti yang saya berhak dapat, saya akan dapat 154 undi. Saya sanggup kembali sebagai Perdana Menteri walaupun Bersatu tolak saya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here