KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan ketika ini memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah sah sehingga 2023.
Majlis Presiden PH yang bermesyuarat malam tadi berpendirian apa yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera.
Dalam satu kenyataan bersama yang dibuat Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Safiuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Md Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, berpendapat banyak isu yang gagal di tangani kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat bulanan malam tadi. Antara yang telah dibincangkan termasuk keadaan ekonomi semasa yang amat menggusarkan.
“Laporan-laporan berita berkenaan indeks persepsi rasuah negara yang menurun, potensi kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , serta pengurangan pelaburan langsung asing memperlihat kegagalan kerajaan menangani keadaan dengan baik,” menurut kenyataan itu.
Majlis Presiden PH turut mempertikai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya.
“Amat jelas rakyat tidak inginkannya pada waktu ini, tetapi mahukan kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.
“Maka Pakatan Harapan kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU14 adalah sah sehingga 2023.
“Majlis Presiden itu turut membincangkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu dengan senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21 Januari lalu, namun sehingga hari ini tiada sebarang maklumbalas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.
“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat
“Kami berpendirian bahawa segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan juga mengatasi kelembapan ekonomi sudah terkandung di dalam undang-undang sedia ada,” katanya.
-Malaysiapost

