CIKGU Naimmi Yusof yang kisahnya mengajar kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika dikuarantin yang tular baru-baru ini mengalami kerugian RM70,000 apabila perniagaan yang dijalankannya terpaksa ditutup susulan beliau positif Covid-19.
Katanya, perniagaan menjual pakaian sukan, kedai cetakan baju dan kasut terpakai yang diusahakan secara bersama isterinya itu terpaksa ditutup kerana 19 pekerjanya turut sama dikuarantin.
“Ketiga-tiga kedai di Keningau, Sabah itu terpaksa ditutup selama 14 hari kerana semua pekerja dikuarantin. Secara kasarnya dalam tempoh itu bagi ketiga-tiga perniagaan terbabit saya rugi RM70,000 tetapi tidak mengapa demi keselamatan semua pihak.
“Demi kesejahteraan masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menutup semua premis ini.. memang banyak jumlah RM70,000 tu tetapi nyawa orang ramai lagi berharga,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Mengulas lanjut, beliau yang baru sahaja bebas Covid-19, semalam turut memaklumkan kesemua pekerjanya itu terdiri daripada penduduk tempatan yang sebahagian besarnya adalah bekas pelajarnya.
“Mereka terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan dan masing-masing adalah tonggak keluarga. Penutupan kedai sementara waktu itu walaupun merugikan saya tetapi gaji mereka berjalan seperti biasa tanpa dipotong,” katanya.
Sebelum ini Malaysiapost melaporkan tidak mahu pelajar ketinggalan dalam pelajaran mendorong seorang guru yang sedang kuarantin di Kompleks Sukan Keningau, Sabah menjalankan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Walaupun berstatus ‘mc’ dan pengurusan sekolah memintanya berehat, Naimmi Yusof, 34, berkata sebagai guru rasa tanggungjawab dan amanah terhadap pelajar menjadi keutamaan selain masa masih mengizinkan dirinya untuk mengajar.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:

