PEMUDA Umno membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berhubung penulisannya dalam buku My Story: Justice In The Wilderness.
Pengerusi Sekretariat Peguam Muda, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya membantah tindakan Tommy Thomas yang didakwa membuka rahsia sulit berkaitan kerajaan.
Katanya, beliau berpeluang meneliti sebahagian daripada kandungan buku tersebut dan mendapati ia mengandungi perkataan serta maklumat yang menjadi rahsia sulit kerajaan Malaysia.
“Kami percaya bahawa Tommy Thomas sebagai seorang peguam negara, yang juga merupakan penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia pada waktu itu, adalah terikat dengan akuan sumpah menyimpan rahsia yang beliau ikrarkan sewaktu dilantik ke jawatan tersebut.
“Pendedahan beliau di dalam buku tersebut boleh memberi gambaran tidak baik oleh masyarakat dan rakyat Malaysia terhadap pelaksanaan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini.
“Kami percaya bahawa undang-undang itu bukan sahaja perlu telus dan adil tetapi sewajarnya pentadbiran undang-undang dan kehakiman dilihat dan diyakini sebagai adil oleh rakyat Malaysia. Barulah perundangan dan kehakiman di negara ini diyakini dan dilihat suci oleh rakyat Malaysia,” katanya seperti dilapor Malaysiakini
Buku yang diterbitkan Gerak Budaya itu dilancarkan pada 30 Januari sekali pun mencetuskan kontroversi tersendiri.
Ia mendedahkan pelbagai isu membabit penglibatan Tommy sebagai peguam negara sepanjang pentadbiran PH.
Sementara itu Nik Saiful Adli berkata, pihaknya berpandangan perlu diletakkan titik noktah kepada pencabulan sistem perundangan dan kehakiman sama ada oleh penjawat awam, mahupun oleh ahli-ahli politik.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilakukan supaya sistem perundangan dan kehakiman bersih telus dan adil dalam menjalankan fungsi badan tersebut.
Katanya, ulasan Tommy dalam buku tersebut banyak mengandungi peristiwa-peristiwa dan maklumat-maklumat sulit yang kami anggap bukanlah untuk pengetahuan dan pembacaan umum.
“Melihat dari aspek perundangan kami percaya ianya adalah satu perbuatan yang menjadi undang-undang terutama melibatkan pendedahan maklumat-maklumat sulit kerajaan Malaysia yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
“Pemuda Umno percaya bahawa satu tindakan yang sewajarnya harus diambil bagi menyiasat penulis buku tersebut serta menghentikan penerbitan dan penyebaran buku tersebut seandainya ia mengandungi rahsia-rahsia rasmi kerajaan,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/tommy-langgar-sumpah-simpan-rahsia-rais-yatim/

