SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kegagalan beberapa menteri terutama yang bertanggungjawab terhadap pelancongan menangani krisis Covid-19 perlu meletak jawatan.
Menerusi kenyataan, Guan Eng berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengecewakan rakyat dengan gagal mengumumkan pakej kewangan yang konkrit.
“Menteri yang bertanggungjawab terhadap kesihatan, pelancongan, kebajikan, sumber manusia dan ekonomi harus meletak jawatan kerana gagal menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, terutama industri pelancongan.
“Lonjakan tinggi kes Covid-19 bukti jelas terhadap kegagalan kerajaan PN yang tidak dipilih untuk mengurus, mengawal dan membendung wabak global ini,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PN masih tidak sedar dan tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi situasi tenat industri pelancongan yang kehilangan pendapatan RM100 bilion tahun lalu.
“Ini bukan satu-satunya bukti kerajaan PN dan menteri kabinet tidak peduli dan tidak cekap. Malaysia kehilangan pelaburan langsung (FDI) pada kadar yang lebih buruk dari Asean dan secara global pada 2020.
“Pada ketika ramai kehilangan pekerjaan dan perniagaan bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Menteri yang gagal melakukan kerja mereka harus diganti,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/ramai-dah-celik-mata-mohon-sertai-dap-marina/

