Ebit dibenarkan masuk Taman Marin Tun Sakaran dengan makluman MKN

0
1

PIHAK Taman-Taman Sabah menjelaskan membenarkan rombongan pendakwah, Ebit Lew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menerusi Facebook, Pihak Taman-Taman Sabah sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah.

“Kebenaran khas diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan Taman yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak Pengurusan Taman-Taman Sabah juga amat menghargai pendirian dan ketegasan Pegawai dan Renjer Taman di Taman Marin Tun Sakaran yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas mereka melindungi kawasan Taman yang kini dalam fasa rekuperasi atau kerehatan daripada gangguan pelancong dan pelawat taman.

“Perlindungan dan pemuliharaan alam semula jadi taman di seluruh Taman-Taman Sabah akan tetap diteruskan termasuk semasa tempoh pelaksanaan PKP pandemik Covid-19 dan tempoh perintah berkurung di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Ebit menerusi Facebooknya semalam menyatakan tidak dapat meneruskan misi bantuan di beberapa pulau di Semporna kerana tidak dibenarkan ke pulau terbabit selain diminta menghentikan bantuannya di daerah itu.

Beliau juga menyatakan terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancangnya walaupun sudah menyediakan peralatan seperti kayu.

Berikutan situasi di Semporna itu, katanya beliau terus ke Tawau untuk menunggu penerbangan pulang.

Ebit menyatakan berjaya mengislamkan seramai 490 orang masyarakat Bajau Laut atau Pala’u dari empat kampung di pulau-pulau sekitar perairan Semporna ketika menghantar bantuan makanan kepada penduduk di kawasan terbabit.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/03/sabah-nafi-keluar-arahan-halang-ebit-lew-teruskan-misi-bantuan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here