‘Siasatan terhadap Anwar tak wajar, perlu dibatalkan’ – Nik Nazmi

0
1

SIASATAN polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu permohonan semakan kehakiman terhadap pengisytiharan darurat sebagai ‘tidak wajar dan tidak berasas’.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana tindakan ketua pembangkang itu didakwa tidak ada kaitan dengan pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin PKR itu berkata, tindakan tersebut hanya tertumpu kepada nasihat yang diberikan kerajaan kepada Agong berhubng pengisytiharan darurat.

“Oleh itu, tuntutan itu dibuat terhadap kerajaan dan bukan kepada institusi beraja. Beberapa pemimpin lain turut memfailkan tuntutan yang sama berhubung pengisytiharan darurat,” ciapnya.

Nik Nazmi menegaskan cabaran semakan kehakiman yang difailkan Anwar juga pernah dilakukan PAS berhubung pengisytiharan darurat di Kelantan pada 1977.

Katanya, mahkamah perlu dibenarkan untuk menentukan merit bagi hujah-hujah perundangan tanpa sebarang campur tangan dari pihak lain.

“Sebagai warganegara Malaysia, Anwar berhak untuk mendapatkan penghakiman mahkamah untuk membetulkan kesalahan yang dipercayai telah berlaku.

“Menggunakan polis untuk menyiasat dan menakut-nakutkan ahli parlimen yang berkhidmat dan ketua pembangkang yang menjalankan tugasnya untuk semak imbang kerajaan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Ini tetap berlaku walaupun dalam keadaan darurat,” katanya.

Nik Nazmi berkata, siasatan terhadap Presiden PKR itu tidak wajar dilakukan dan perlu dibatalkan.

Pada 27 Januari lalu, Anwar memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menggantung parlimen dalam tempoh darurat.

Anwar turut memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah bertentangan undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/rayu-batal-darurat-apa-kesalahan-anwar-sampai-disiasat-polis-hanipa/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here