Surau Jins Shamsuddin terbiar usang dalam hutan

0
1

Nurul Huda Abhar

SIAPA sangka di sebalik hutan belukar di Sabah tersimpan sebuah struktur binaan yang mempunyai sejarahnya tersendiri yang kini kian dilupakan.

Jika dahulu namanya gah seiring dengan tokoh yang merasmikannya, tetapi kini bangunan dikenali sebagai Surau Jins Shamsuddin terbiar usang dalam hutan di daerah Tamparuli.

Menerusi satu video di Youtube yang dimuat naik oleh Johary Indan, beliau menelusuri denai untuk sampai ke kawasan struktur papan tinggal yang berusia lebih 50 tahun dan sudah tidak digunakan lagi.

“Bangunan (struktur) usang itu adalah bekas surau di Kampung Tambalugu dan Lakang di Tamparuli. Berusia lebih 50 tahun tetapi tidak lagi digunakan oleh penduduk Islam dua kampung itu dan ia terbiar dengan struktur banyak yang sudah reput dan bahaya untuk digunakan.

“Bangunan ini didirikan sekitar tahun 70-an oleh Pertumbuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam usaha menyebarkan syiar Islam ke negeri Sabah,” katanya dalam video itu.

Johary, bekas wartawan Berita Harian berkata, bangunan surau usang itu dahulunya lama digunakan oleh penduduk Islam di dua kampung berkenaaan, namun setelah ditinggalkan keadaannya amat menyedihkan dan dinding sudah roboh, malah papan dimamah anai-anai.

Difahamkan guru pertama yang mengajar di bangunan itu adalah seorang ustaz berasal dari Kuala Penyu, yang telah meninggal dunia.

Menurut cerita penduduk kawasan berkenaan, pelajar yang berguru bersama ustaz tersebut pada ketika itu hanya sekitar 20 orang kerana yang beragama Islam di dua kampung itu tidak seramai seperti sekarang.

Dalam video itu, Johary yang kini penulis bebas menunjukkan keadaan beberapa bahagian struktur tersebut mulai runtuh dan atap zink telah ada yang menyembah bumi.

“Mengikut cerita orang yang mengetahuinya, bangunan ini dirasmikan oleh seniman agung negara yang ketika itu bergiat cergas dalam menyebar syiar Islam di seluruh Sabah iaitu Tan Sri Jins Shamsuddin di sekitar tahun 1971 dan 1972.

“Walaupun struktur bangunan lama ditinggalkan namun ada juga struktur yang masih kukuh iaitu keadaan di mimbar.

“Bangunan luar dinding ada yang telah reput, dan mungkin struktur di dalam juga sama dan membahayakan. Bahagian bumbung sudah bocor, anak bumbung sudah berlubang. Bagaimanapun, bahagian lantai masih kukuh seperti yang dilihat namun, banyak sarang anai- anai,” ujarnya lagi.

Johary berkata, ramai yang menggelar bangunan tua tersebut sebagai surau Tan Sri Jins Shamsuddin kerana ia menjadi sejarah bagi penduduk di kawasan itu semasa kedatangan pelakon terkenal itu.

“Alangkah baiknya jika ada pihak yang sudi membaik pulih atau menggantikan surau Jins Shamsuddin ini dengan bangunan baru untuk ia boleh digunakan semula oleh umat Islam di sekitar,” katanya.

Johary kini gemar menerokai lokasi-lokasi misteri yang masih tersembunyi di Sabah. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/benarkah-ikan-puyu-boleh-halau-hantu-makhluk-halus/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here