LIVERPOOL yang kehilangan tiga pemain pertahanan tengah akibat kecederaan, menandatangani bek Schalke, Ozan Kabak dan Ben Davies dari Preston pada hari terakhir jendela perpindahan semalam.
Juara bertahan Liga Perdana itu hilang kesemua pemain pertahanan tengah senior iaitu Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip yang terpaksa berehat panjang, lapor AFP.
Matip terpaksa melupakan baki saingan musim ini akibat kecederaan ligamen buku lali ketika bertembung dengan penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, Khamis lalu.
Pemain tengah, Fabinho yang cemerlang di posisi pertahanan selepas bertukar dari posisi asalnya, turut menyertai senarai kecederaan manakala kapten Jordan Henderson, juga pemain tengah, terpaksa menerajui benteng The Reds.
Kabak menyertai Liverpool secara pinjaman sehingga akhir musim pada harga £1 juta (RM5.53 juta) dengan pilihan untuk pembelian pada £18 juta (RM99.53 juta).
Pemain berusia 20 tahun itu beraksi dua tahun di Bundesliga, bermula di Stuttgart sebelum menyertai Schalke pada Julai 2019.
Dia sebelum itu memiliki pengalaman aksi Liga Juara-Juara bersama Galatasaray dan mengumpul tujuh penampilan bersama Turki.
Davies, 25, ditandatangani pada harga sekitar £500,000 (RM2.76 juta) selepas membuat 145 penampilan untuk Preston, meledak dua gol sejak 2013.
Sementara itu, laman sesawang rasmi Liverpool mengesahkan pemain penyerang, Takumi Minamino dipinjamkan sehingga akhir musim ke Southampton.
Pemain antarabangsa Jepun itu beraksi dalam 31 perlawanan and menjaringkan empat gol sejak tiba di Anfield dari Red Bull Salzburg, Januari tahun lalu. – Malaysiapost

