PEMAIN kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad dilaporkan kembali bersemangat dan bakal menjalani latihan bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tempoh terdekat.
Menerusi makluman rakannya, Muhammad Hazriq Fahimy Abdullah, Syafiq kelihatan bersedia dan menerusi raut wajahnya juga lebih bersemangat berbanding lebih sebulan lalu.
“Kali terakhir jumpa sebelum pengebumian jenazah (anak dan ibu mentua Syafiq), saya pun tak nak ganggu dia selepas itu, namun semalam dia ada hubungi dan kemudian dia singgah ke kedai saya. Alhamdulilah nampak dia kembali bersemangat.
“Dia kata segala ujian dari Allah ada hikmahnya. Nampak dia menerima hakikat dan redha dengan apa yang sudah berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Hazriq berkata, Syafiq memaklumkan isterinya, Nur Amalina Norain akan menjalani rawatan di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Johor.
“Untuk yang dok tanya keadaan isteri beliau, Alhamdulillah, Mekna (Nur Amalina) pun kini kian pulih, kian cergas, sama-samalah kita doakan kesejahteraan mereka Insya-Allah.
“Mereka akan ke Kuala Lumpur untuk ‘treatment’ Mekna dan selepas itu kembali ke Johor untuk latihan bersama pasukan.
“Syafiq memaklumkan JDT memberi masa dia kembali bila-bila masa untuk berlatih apabila sudah bersedia. Nampaknya Syafiq sudah bersedia,” katanya.
Pada 6 Disember lalu, Syafiq terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Pulay Pinang.
Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mentuanya, Zainab Wahab dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti maut.
Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya cedera ringan namun isteri Nur Amalina dilaporkan cedera parah. – Malaysiapost

