YANG di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Kedua-duanya menerima Darjah Kebesaran Pangkat Pertama iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.U.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Turut menerima anugerah sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada seramai 335 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan itu adalah berkuatkuasa hari ini.
Bagaimanapun, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan masih belum diputuskan berikutan penularan pandemik Covid-19.
Bagi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua iaitu Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri, antara penerima ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Antara penjawat awam yang dikurniai Darjah Kebesaran itu pula ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Suhaime Mahbar.
Sementara itu, penerima Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk antaranya Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah. – Malaysiapost

