Nurul Huda Abhar
ANGKA jangkitan Covid-19 yang perlu diperhatikan adalah jumlah
PESAKIT Covid-19 kategori 4 dan 5 iaitu kritikal dan paling kritikal hingga perlukan alat bantuan pernafasan meningkat hampir tiga kali ganda bulan ini, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan selama 18 hari.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata perkara itu perlu diberikan perhatian.
Ini kerana, katanya, jumlah katil disediakan untuk semua pesakit Covid yang tidak kritikal dalam sistem kesihatan kerajaan sudah jauh dilepasi setelah kes aktif meningkat kepada 47,388 orang semalam.
“Kita boleh bina atau sediakan tempat lain sebagai pusat kuarantin dan rawatan kes risiko rendah dengan lebih laju atau suruh pesakit yang tidak kritikal untuk kuarantin dan rawat diri dalam rumah seperti apa yang kerajaan terpaksa laksanakan sekarang,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun akan menghadapi masalah untuk membina dan menyediakan lebih banyak katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam masa singkat kerana ia memerlukan jururawat dan doktor terlatih serta alatan perubatan khusus.
Pada 2 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan jumlah hospital yang merawat pesakit Covid-19 telah meningkat kepada 46 dengan kapasiti katil ICU sebanyak 910.
Dari jumlah 910 itu, 516 katil dikhususkan untuk pesakit Covid-19 namun angka pesakit kritikal Covid-19 meningkat dari 100 orang pada awal Januari kepada 319 yang ditempatkan dalam ICU setakat semalam.
Sementara itu, Najib berkata jika trend berganda itu berterusan maka angka 319 pesakit kritikal bakal menjadi lebih 900 orang pada akhir Februari.
Malah, katanya, jika angka itu berganda lagi pada Mac, ia mungkin naik ke 2,700 pesakit.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia adalah keadaan yang amat berbahaya kerana katil ICU bukan diperlukan untuk pesakit Covid-19 sahaja, tetapi bagi sesiapa yang mengalami kecemasan seperti serangan jantung, sstrok, kemalangan jalan raya, atau sebarang kecemasan yang memerlukan ICU.
“Sekiranya ICU kita penuh, pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan kecemasan tidak dapat diberi rawatan dalam sistem hospital.
“Jika PKP 2.0 setengah masak tidak berkesan untuk turunkan jumlah kes setiap hari dan memutuskan trend kenaikan pesakit dalam ICU, adakah kerajaan perlu membuat sesuatu untuk memperbetulkan keadaan?,” ujarnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang akan menamatkan PKP 2.0 pada 4 Febuari dan gantikannya dengan tiga bulan PKP Bersyarat yang terbukti gagal sebelum ini.
Tegasnya, kerajaan perlu memantau rapi angka-angka pesakit kritikal agar jumlah pesakit yang maut akibat Covid-19 tidak terus mencanak naik.
“Kita tidak mahu trend 15-16 kematian setiap hari ketika ini berganda menjadi 50 atau 100 pada bulan-bulan mendatang.
“Seramai 15 orang meninggal setiap hari bermaksud 5,500 nyawa dalam setahun. 100 pula menjadi 36,500 orang,” kata Najib.
Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 paling tinggi iaitu 5,728 menjadikan keseluruhan kes positif di negara ini terus melonjak kepada 209,661.
Angka kematian akibat virus itu kini mencecah 746 dengan pertambahan 13 kes semalam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/covid-19-kes-baharu-cecah-5728-hari-ini/

