BEKAS Peguam Negara, Tommy Thomas mendakwa Yang di-Pertuan Agong memperkenan untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri interim.
Ia setelah Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.
Menurut Thomas, Dr Mahathir kemudian menyerahkan namanya sendiri sebagai Perdana Menteri sementara kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara itu dinyatakan Tommy dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”, yang diterbitkan semalam, lapor FMT.
Dalam tulisan itu, Tommy berkata dalam politik moden, keputusan Dr Mahathir mengundurkan diri atas kehendak dan kemahuan sendiri adalah tidak dijangka.
“Selaras dengan keputusan itu, dia harus meninggalkan kancah politik setelah memegang jawatan paling penting di negara ini,” katanya.
Beliau menambah pelantikan Dr Wan Azizah yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir, akan menjadi keputusan perlembagaan.
Selain itu, Tommy menulis bahawa keputusan Dr Mahathir untuk membubarkan Kabinetnya setelah meletak jawatan adalah luar biasa, seperti mana kebiasaan ketika Perdana Menteri meletakkan jawatan namun Kabinet mereka tetap kekal.
“Perlu diingat pengunduran Tun adalah peribadi, hanya sebagai Perdana Menteri. Pengunduran diri hanya terbatas pada pejabat itu, bukan seluruh pemerintah,” katanya.
Tommy menyatakan sejak Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman mengundurkan diri pada September 1970, setiap Perdana Menteri diganti oleh timbalan mereka.
Di bahagian lain buku itu, Tommy berkata PAS mungkin secara tidak sengaja memainkan peranan penting menyelamatkan jawatan beliau setelah Dr Mahathir memintanya berundur, sehari setelah dilantik sebagai Peguam Negara berikutan reaksi orang Melayu terhadap pemilihan itu.
“Nampaknya, pernyataan umum oleh PAS yang menyatakan mereka tidak keberatan dengan pelantikan saya, terutama kerana saya telah mewakili kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan dalam kes royalti petroleum terhadap Petronas, telah mengejutkan Tun,” tulis Thomas. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

