Polis bina khemah atas bukit mudahkan pelajar dapat internet

0
2

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan membina khemah di atas bukit setinggi 100 meter di Kampung Paus di daerah itu bagi membantu pelajar mendapat capaian Internet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata ketiadaan isyarat Internet yang baik di kampung itu menyukarkan pelajar mengikuti sesi PdPR.

Justeru pihaknya menyediakan khemah di atas bukit dalam ladang kelapa sawit bagi memberi manfaat kepada lebih 30 pelajar di kampung itu.

“Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan pegawai dan anggota IPD Ranau selain menyumbang pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar,” katanya kepada Bernama.

Kampung Paus terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau dan lebih 20 kilometer dari jalan utama.

Sehubungan itu bagi memastikan keselamatan pelajar di khemah berkenaan rondaan pemantauan polis dari IPD Ranau juga dijalankan.

Sesuai tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Sammy berkata khemah berkenaan dibina pada Jumaat lalu hasil gotong-royong petugas di IPD Ranau bagi menyediakan keselesaan kepada pelajar dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin memuji usaha IPD Ranau yang turut membantu melancarkan proses PdPR meskipun kekangan capaian kemudahan Internet.

Beliau berkata bantuan itu sangat diperlukan pelajar bagi memudahkan mereka mendapat talian Internet dan pesanan pembelajaran daripada guru sekolah.

“Dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang telah disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

Ebit pasang wifi untuk penduduk kampung

https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/demi-telegram-ibu-sanggup-ulang-alik-ke-pondok-pengawal-sekolah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here