POLIS mengesahkan ibu kandung kepada kanak-kanak yang maut dipercayai didera di Taman Krubong Jaya, Melaka, kelmarin pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata suspek berusia 32 tahun itu hanya mendapatkan rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.
“Ya suspek pernah mendapatkan rawatan, tetapi sudah lama iaitu pada 2019 lalu.
“Rawatan itu diterima di Hospital Melaka dan hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (mental) seperti didakwa,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya.
Kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.
Mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengenai Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Semalam, pasangan suami isteri yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa direman tujuh hari untuk siasatan.
Sementara itu, Mohd Sukri meminta.orang ramai menghentikan spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat selain mengganggu siasatan pihak berkuasa.
“Masyarakat sepatutnya menilai sesuatu kes jenayah menurut kaca mata keadilan sebenar dan bukan membuat andaian dan spekulasi yang mencacatkan sistem keadilan jenayah dan seterusnya mendatangkan fitnah kepada sistem pentadbiran keadilan jenayah.
“Serah sahaja kepada polis untuk menyiasat dan polis akan memastikan siasatan tersebut dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa-kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” tegasnya.
Kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu apabila keluarga angkatnya yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkannya semula kepada ibu kandungnya.
Ia dikongsi menerusi satu klip video di Facebook yang menunjukkan ibu angkat dan keluarganya menangis ketika memeluk kanak-kanak lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

