SETIAUSAHA Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim memaklumkan semakin ramai memohon untuk menjadi ahli parti itu.
Ahli politik muda berusia 34 tahun itu berkongsi mengenai perkara tersebut menerusi ciapan di Twitternya hari ini.
Malah, Marina menyertakan gambar borang keahlian yang menunjukkan bekas ahli parti Bersatu turut memohon menyertai parti tersebut.
Menerusi ciapan tersebut, Marina menasihati mana-mana individu yang ingin menjadi ahli DAP agar terlebih dahulu memahami mengenai parti itu serta aktiviti yang dijalankan sebelum membuat keputusan.
“Pagi-pagi dah busy (sibuk) semak dan proses permohonan keahlian. Alhamdulillah ramai yang dah celik mata.
“Cara aku, jangan jadi ahli sebab kau nak jadi ahli atau sebab orang ajak. Join aktiviti, ambil masa enam bulan ke setahun, fahami untuk apa keperluan, kemudian buat keputusan sendiri,” tulisnya.
Marina yang menyertai politik pada 2016 seterusnya berkata beliau berusaha menambah keahlian DAP di Johor bukan semata-mata untuk memenuhkan ahli cawangan, sebaliknya mestilah disertai mereka yang memahami parti tersebut.
“Kalau setakat nak penuhkan ahli cawangan saya, baik saya buka meja dekat pasar pagi. Suruh orang daftar. Tapi itu bukan cara saya.
“Memang tak main tangkap muat nak jadi ahli isi borang. Untuk cawangan aku, ambil masa fikir, faham aspirasi aku dan parti, join segala aktiviti, lihat sendiri perkara buruk yang orang canangkan betul atau tidak. Kemudian buat keputusan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/18/dap-jadi-punching-bag-parti-lain/

