RUJUK Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), kata Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur United (KL United), Stanley Bernard berhubung isu bekas jurulatih, Simon Elissetche.
Ini berikutan KL United tidak terlibat dengan pelantikan Simon Elissetche dan tidak berminat dengan khidmat pengendali dari Chile itu.
Stanley berkata bekas pengendali Timor Leste itu seharusnya merujuk kepada KLFA memandangkan persatuan itu yang menawarkan kontrak kepadanya dan bukan KL United.
Dalam masa sama, Stanley mengesahkan pihaknya belum lagi menerima apa-apa saman setakat ini dan tidak menerima sesuatu yang rasmi mengenai perkara terbabit.
“Apa yang saya terima adalah satu surat pemberitahuan dan itu bukan bermaksud satu saman. Kontrak sudah ditandatangani bersama KLFA dan ini bermakna saya serta KL United tidak terbabit dalam perkara ini.
“Saya pun tahu mengenai Peraturan Status dan Perpindahan Pemain (RSTP) tetapi dalam keadaan ini, saya melihat KLFA masih lagi satu badan yang berfungsi dengan elok.
“KLFA mempunyai kontrak dengan Simon dan mereka pun tidak pernah katakan apa-apa mengenai penyingkirannya. Saya pun tidak boleh menyingkirkannya kerana saya tidak ada hak (berbuat begitu). Saya hanya katakan yang saya tidak berminat dengan Simon bersama KL United, itu sahaja,” katanya seperti dilapor BH.
Sebelum ini media melaporkan, Simon mahu mahu mengheret KLFA ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan membuat tuntutan RM3.5 juta atas alasan penamatan kontrak yang dibuat tanpa sebab munasabah selain pengendali itu didakwa memiliki lesen profesional yang tidak sah.
Mengulas mengenai kemungkinan perbincangan akan dilakukan bersama Simon, Stanley menegaskan perkara itu perlu diselesaikan bersama KLFA.
“Itu (perbincangan) kena tanya KLFA kerana kontraknya bersama KLFA. Setakat ini, saya tahu yang KLFA tidak pernah katakan apa-apa kepada Simon dan dia pun tidak berjumpa dengan Setiausaha Agung KLFA (Nokman Mustaffa).
“Simon menggunakan media sebagai langkah pertama, jadi itu agak aneh buat saya. Kalau dilihat pun, kepala surat adalah KLFA dan bukan KL United jadi ini sangat berbeza,” katanya. – Malaysiapost

