BUKIT Aman mengesahkan 98 pelatih yang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di dua Pusat Latihan Polis (Pulapol) disahkan positif Covid-19.
Jumlah itu merangkumi 78 pelatih kadet inspektor dari Pulapol Kuala Lumpur manakala 20 lagi pelatih konstabel dari Pulapol Segamat, Johor.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata penularan tersebut menyebabkan sesi latihan di dua pusat latihan itu dihentikan sementara waktu.
“Pelatih yang positif telah dikuarantin di asrama berasingan dan proses nyah kuman dilakukan di semua asrama.
“Buat masa ini tiada pergerakan keluar masuk bagi mengawal penularan wabak. Kita hanya benarkan pergerakan untuk barang keperluan sahaja,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau keadaan dan membuat penilaian risiko.
Semalam, negara mencatatkan kes harian tertinggi apabila 5,725 kes baharu Covid-19 direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara mencecah 203,933 kes. – Malaysiapost

