SEORANG kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya, Melaka, semalam.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditemui meninggal dunia dalam tong air di rumahnya dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata Bilik Gerakan (DCC) JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerima panggilan pada jam 4 petang daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya lemas di dalam tong air di rumahnya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati ada kesan lebam serta kecederaan di anggota badan kanak-kanak itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dicederakan. Susulan itu, ibu dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Katanya, polis akan membuat permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Ayer Keroh pagi ini.
Sementara itu, portal Redaksi.com mengaitkan kejadian itu dengan kisah seorang anak angkat yang diserahkan kembali kepada ibunya pada Oktober lalu yang ‘tular’ sebelum ini.
Kanak-kanak lelaki terbabit dijaga seorang wanita sebelum ibunya meminta kembali haknya ketika usia kanak-kanak itu enam tahun.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada kanak-kanak terbabit adalah mangsa dalam kejadian di Melaka itu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/08/kanak-kanak-11-tahun-hamil-hasil-hubungan-rakan-remaja/

