‘Backlog cases’ punca kes Covid-19 di Selangor naik mendadak – MB

0
1

PENINGKATAN mendadak kes Covid-19 di Selangor khususnya yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, antara lain disebabkan ‘backlog cases‘ atau kes-kes tertunggak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kes-kes tersebut adalah dari saringan pekerja kilang, penjara serta di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun ‘real time’.

Katanya, ‘backlog’ itu boleh dikesan dari kes yang berlaku sejak 10 hari lalu.

“Bagi mengatasi masalah ini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Selangor menjadi penyumbang terbesar statistik kes harian Covid-19 negara apabila merekodkan 3,126 kes, tertinggi pernah dicatatkan di negeri itu.

Malaysia semalam merekodkan 5,725 kes baharu Covid-19, juga kes harian tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak itu melanda negara lebih setahun lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Selangor yang dipengerusikannya malam tadi, mengenalpasti kilang-kilang di seluruh negeri sebagai kawasan utama perebakan wabak.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri akan melaksanakan Program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) iaitu program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan bagi memutuskan rantaian serta mengelak kluster di tempat kerja.

“POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM),” katanya.

Bagi mengelak tercetus kluster baharu di kilang dan tempat kerja, beliau berkata kerajaan Selangor akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja serta tidak memberi kerjasama bagi aktiviti pengesanan kontak rapat.

“Mesyuarat turut membincangkan cadangan untuk menambah pusat Covid Assessment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

“CAC berperanan untuk menganalisa pesakit Covid-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut.

“JKNS turut memaklumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/5725-kes-rekod-baharu-tercipta-hari-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here