KANAK-kanak berusia 10 tahun antara 2,099 kes kehamilan bawah usia 19 tahun yang dikesan di Sarawak pada tahun lalu.
Jumlah itu meningkat 6.4 peratus berbanding 1,969 kes pada 2019, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Beliau berkata dari jumlah kes kehamilan remaja tahun lalu, 96.17 peratus daripadanya melibatkan remaja yang tidak bersekolah atau berhenti sekolah dan 58.9 peratus membabitkan remaja yang tidak berkahwin.
“Dari segi umur, 65.5 peratus daripadanya 18 hingga 19 tahun, diikuti 28.3 peratus berusia 16 hingga 17 tahun dan selebihnya 10 hingga 15 tahun,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Katanya, perkara yang harus menjadi perhatian adalah kes kehamilan melibatkan remaja berumur serendah 10 tahun.
“Remaja yang hamil pada usia muda sebegini masih belum bersedia dan belum matang untuk menjadi ibu bapa.
“Tambahan pula, apabila terdapat remaja hamil dalam kalangan pelajar sekolah, akan ada kes berhenti sekolah kerana stigmatisasi ke atas mereka.
“Hal ini akan mengakibatkan mereka ketinggalan dalam pendidikan,” katanya. – Malaysiapost

