KETUA pengarang media terutama arus perdana diminta berhati-hati dalam pemilihan tajuk berita berkaitan Covid-19 dan vaksin virus tersebut.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata jangan kerana mahu tarik perhatian pembaca, mereka mengggunakan perkataan mengeliru dan menakutkan rakyat sehingga menggugat usaha kerajaan menangani penularan Covid-19.
Sebagai contoh, katanya tajuk berita dari China tentang kaedah calitan dari dubur, jika dibaca sekali imbas ramai membuat andaian kononnya kaedah itu digunakan di Malaysia.
“Sedangkan berita asal dari China itu sendiri menyatakan China tidak bercadang menjadikan ia kaedah piawai. Pakar dari Malaysia telah menegaskan kaedah digunakan sekarang paling sesuai dan berkesan.
“Implikasi tajuk sebegini menakutkan orang untuk ke hospital,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Amzad berkata, perkara sama berlaku dalam tajuk nerita berkaitan vaksin Covid-19 yang mengelirukan orang ramai.
“Ketika seorang ulama tersohor dari Emeriah Arab Bersatu (UAE) menjelaskan hukum vaksin antara lain menyebutkan “Dalam keadaan darurat, vaksin jika sekalipun mengandungi bahan najis seperti babipun hukumnya dibolehkan”.
Lalu tajuk berita ditulis “Vaksin Covid-19 mengandungi babi hukumnya harus”. Habis jadi bahan percakapan bahawa dalam Vaksin Covid-19 ada babi.
“Sedangkan yang sebenarnya ulama itu menjelaskan hukum dalam keadaan darurat,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, realiti sebenarnya kebanyakan vaksin Covid-19 yang ada di dunia hari ini tiada unsur babi, malah vaksin yang dipilih untuk digunakan di Malaysia tidak mengandungi sel haiwan langsung.
“Ini dijelaskan dalam keputusan fatwa muzakarah fatwa kebangsaan yang disembah maklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan selari fatwa yang serupa di seluruh dunia.
“Malah vaksin yang menjadi pilihan Malaysia adalah dalam kelompok paling tinggi kadar keberkesanan dan paling banyak dipercayai di seluruh dunia berdasarkan lebih 80 juta dos yang telah disuntik kepada penduduk di lebih 57 negara,” katanya.
Katanya lagi, setiap hari lebih 3.6 juta dos disuntik di merata tempat, cuma ada peratus kecil laporan kes terpencil yang ternyata tiada kaitan langsung dengan kesan vaksin.
“Tetapi kerana laporan yang mengelirukan, masyarakat jadi was-was dan takut,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/11/30/covid-19-70-peratus-rakyat-terima-vaksin-percuma/

