Kematian Sarjan Mohd Arshad, pihak berwajib perlu beri penjelasan

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta pihak berwajib memberi penjelasan berhubung kematian seorang anggota polis yang menjalani kuarantin kendiri akibat Covid-19.

Sambil menyatakan rasa sedih menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, Najib berkata laporan media menyebut anggota polis terbabit, Sarjan Mohd Arshad Md Ariffin, 53, disahkan positif Covid-19 sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, katanya, mangsa meninggal dunia akibat wabak itu setelah diarahkan untuk kuarantin kendiri di rumah.

“Paling sedih ialah anggota polis sudah mengalami gejala Covid-19 semasa disahkan positif.

“Kenapa pula dia dibiarkan kuarantin di rumah jika sudah bergejala?,” soalnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan berharap pihak berwajib memberi penjelasan jika anggota polis itu meninggal dunia kerana tidak menerima bantuan kesihatan setelah mengalami komplikasi Covid-19 semasa kuarantin di rumah.

“Dan jika benar, apakah langkah kerajaan untuk memastikan tragedi begini tidak akan berulang,” katanya.

Dalam masa sama, Najib mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Kelmarin, Mohd Arshad disahkan meninggal dunia ketika menjalani kuarantin Covid-19 di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang.

Allahyarham yang bertugas di Cawangan Pengawal Pengiring (Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/28/anggota-polis-meninggal-dunia-ketika-kuarantin-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here