Kerajaan PN perlu segera pinda RUU 355 bendung ajaran sesat – Zamihan

0
1

SUDAH tiba masanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) meminda segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ia antara lain bagi membendung penyelewangan akidah dan syariah yang semakin berleluasa ketika ini.

Perkara itu disuarakan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin yang menegaskan pindaan RUU 355 dapat membenarkan pihak berkuasa melaksanakan hukuman lebih berat kepada pesalah syariah sekali gus memelihara syiar Islam di negara ini.

“Pinda segera RUU 355! Isu penyelewengan akidah dan syariah merupakan antara sebab terpenting mengapa RUU 355 wajib dipinda.

“Pindaannya membolehkan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas umat Islam yang murtad, menghina agama Islam dan melakukan penyelewengan berkaitan akidah dan kesalahan syariah,” catatnya di Facebook, hari ini.

Semalam, Malaysiapost melaporkan seorang bekas wartawan dari sebuah syarikat akhbar arus perdana negara dipercayai mempromosi ajaran sesat dikenali sebagai “ajaran Melayu”.

Ia dikesan melalui beberapa video dan tulisan yang dimuat naik di Facebooknya.

Melalui tindakan dan tulisannya di Facebook, wartawan itu menghina agama Islam apabila mendakwa Islam yang berasaskan al-Quran tiada lagi, sebaliknya yang ada adalah Islam arab.

Ajaran melayu yang dikatakan dibawa pemenang Anugerah Kajai itu terbongkar selepas video mengenainya tular di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi lapan minit itu, ia memaparkan beberapa hantaran Facebook dan video yang dikatakan ajaran sesat dipercayai milik wartawan berkenaan.

Terdapat juga ritual memukul gong sambil mengungkap perkataan ‘aku melayu’ yang dikatakan sebagai lafaz untuk masuk ke ajaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Zamihan berkata, berikutan hukuman kepada pesalah syariah yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan golongan itu hanya memandang sebelah mata dan berani untuk mempersendakan ajaran Islam.

“Sekarang ini, walaupun umat Islam melakukan jenayah berat dalam urusan agama, namun hukuman yang dikenakan kepada pesalah tersangat minima.

“Contohnya, dalam Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993, mana-mana kesalahan syariah yang dibuat hanya boleh dikenakan hukuman maksima 3, 5 dan 6 sahaja. Iaitu 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan sahaja.

“Cuba bandingkan undang-undang Islam dengan undang-undang lain. Dah berapa lama tak pinda? So sad! (Sangat sedih) Perlu diingat bahawa orang bukan Islam tiada kaitan dengan pindaan ini. Ada berani?,” catatnya.

Justeru Dr Zamihan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu dalam memerangi golongan yang mempersendakan Islam dengan menyeleweng akidah melalui fahaman ajaran sesat.

“Saya menyokong penuh gagasan Rabbani yang dilancarkan oleh YB Menteri Agama.

“Tetapi saya tidak redha agama kita terus dipermainkan oleh mana-mana penyebar dan pengikut ajaran sesat. Ayuh! Tangkap, penjara dan kita lakukan rehabilitasi menyeluruh,” catatnya lagi.

Terdahulu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa individu dikenali sebagai Ibu Yati ini.

Beliau berkata jelas ajaran tersebut yang antara lain menggunakan lafaz syahadah pelik adalah ajaran yang sesat lagi menyesat.

Nasrudin berkata, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan yang sewajarnya manakala Yadim sentiasa sedia untuk memberi kefahaman dan pemurnian aqidah serta fikrah. – Malaysiapost

Artikel Berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/jangan-terpengaruh-ajaran-agama-melayu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here