Bakal pengantin dari zon merah perlu jalani saringan sebelum nikah

0
1

BAKAL pengantin dari mukim, daerah dan negeri yang diisytihar zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bernikah di Kedah, bermula 1 Februari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata bakal pengantin perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah dijalankan.

Menurutnya, syarat itu selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan majlis akad nikah hanya dibenar dilaksana di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Katanya, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri atau tempat tinggal pemohon dan sebarang kos ujian tersebut adalah tanggungan pemohon sendiri.

“Bakal pengantin dari berlainan daerah dan negeri, hendaklah mendapat kebenaran merentas daerah/negeri daripada polis.

“JHEAIK dan PAID tidak akan mengeluarkan apa-apa surat sokongan kepada mana-mana pihak bagi tujuan rentas daerah/negeri berkaitan majlis akad nikah,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di laman Facebook rasmi JHEAIK hari ini.

Mohd Yusri berkata, permohonan kebenaran berkahwin hanya akan diproses bagi pasangan lengkap segala dokumen wajib yang diperlukan dan sekiranya terdapat dokumen tidak lengkap, permohonan itu tidak akan diproses.

“Majlis akad nikah hanya boleh dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kursus perkahwinan secara bersemuka ditangguhkan dalam tempoh PKP dan pihaknya juga tidak mengiktiraf sijil kursus pra perkahwinan yang dilaksana secara dalam talian dari negeri lain.

“JHEAIK telah memutuskan pelaksanaan temuduga untuk menggantikan kursus pra perkahwinan bagi tujuan permohonan kebenaran berkahwin di Kedah.

“Sebarang perubahan dan pindaan berkaitan Arahan Tatacara Perkhidmatan Nikah, Cerai dan Rujuk di Kedah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/27/jais-izin-akad-nikah-dikendalikan-melalui-sidang-video/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here