Malaysia tak akan laksana sekatan pergerakan sepenuhnya walau senario terburuk – Tengku Zafrul

0
1

MALAYSIA tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun jika berlaku senario terburuk.  

Jaminan itu diberi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menjelaskan kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus meningkat.  

”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.  

“Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP lebih ketat,” katanya dalam satu program temu bual bersama CNBC hari ini, lapor Bernama. 

Beliau menjawab soalan sama ada kerajaan akan menutup sektor tertentu atau sektor mana yang diberi keutamaan untuk ditutup jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) terpaksa dilanjutkan, atau pembekalan vaksin Covid-19 tidak berjalan lancar seperti dijangka.  

Tengku Zafrul berkata sekiranya jumlah kes terus meningkat, isu utama seperti kepatuhan dan penguatkuasaan SOP perlu ditangani.  

Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 198,208 kes setakat ini. 

Sementara itu Tengku Zafrul menolak pandangan bahawa kenaikan ringgit berbanding dolar AS ketika ini akan memberi impak kepada prestasi eksport. 

“Ya, sememangnya ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan mata wang lain, tetapi perdagangan global diunjur berkembang kira-kira lapan peratus pada 2021 berbanding 2020, dan Malaysia berpeluang untuk meraih manfaat daripadanya.  

“Dan saya percaya prestasi ringgit itu tidak akan memberi impak negatif kepada eksport,” katanya. – Malaysiapost 

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/darurat-tidak-takutkan-pelabur-tapi-tingkatkan-pasaran-negara-tengku-zafrul/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here